Monday, December 03, 2012

TUDM Terima Dua Daripada 12 Helikopter EC725 Cougar Ganti Nuri

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Isnin menerima dua daripada 12 pesawat Eurocopter EC725 bagi mengganti sebahagian daripada 38 helikopter Nuri yang berkhidmat sejak 1959.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pesawat buatan Perancis itu, selain memperkuat operasi mencari dan menyelamat, juga mempunyai fungsi luas, antaranya, sebagai pengangkutan serta utiliti lain.

"Saya difahamkan EC725 ini boleh membawa sehingga 11,000 kilogram muatan. Ia juga boleh digunakan dalam semua cuaca serta dilengkapi kamera dan radar yang amat penting apabila operasi mencari dan menyelamat dilakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pesawat itu di Terminal Skypark Subang, Isnin.

Ahmad Zahid berkata TUDM akan menerima dua pesawat lagi pada Mac depan dan bakinya secara berperingkat sehingga Januari 2014.

"Saya fikir ia boleh digunakan sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang dan bergantung kepada kemampuan perbelanjaan kerajaan jika penambahan akan dilakukan untuk kumpulan yang kedua EC725 ini," katanya.

Beliau berkata dua daripada pesawat itu akan ditempatkan di Kuantan manakala simulatornya di Pangkalan Tentera Udara Subang.

Mengulas status pesawat Nuri, Ahmad Zahid berkata terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada ia akan dinaik taraf atau dijual kepada negara ketiga.

Dalam pada itu, beliau mempelawa negara Asean menggunakan kemudahan pusat latihan simulator di Pangkalan Tentera Udara Subang.

"Kemudahan simulator bukan hanya untuk kegunaan TUDM kerana ia melibatkan dua model iaitu EC225 dan EC725, ia akan ditawar untuk seluruh negara Asean dan Asia Pasifik kerana kemudahan yang ditawarkan bukan hanya meliputi latihan kegunaan simulator tetapi dipakejkan dengan penginapan dan pengangkutan untuk mereka datang," katanya.

Sumber BERNAMA 3/12/2012

0 comments:

Post a Comment