Sunday, December 30, 2012

Selamat Tahun Baru 2013

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Guru Besar dan seluruh warga sekolah ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru kepada semua, tidak kira di mana sahaja anda berada. Marilah kita terus mengamalkan perpaduan, sikap hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama antara kita.

Sesunguhnya perpaduan dan keamanan yang dibina di atas semangat persefahaman dan penerimaan antara kaum adalah prasyarat utama untuk negara kita terus berkembang maju.


Kepada guru-guru dan seluruh warga sekolah, berusahalah dengan lebih gigih lagi bagi meningkatkan tahap kecekapan dan profesionalisme dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anak-anak didik kita, sama ada di bidang kurikulum mahupun ko-kurikulum, dalam sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.

Pihak sekolah juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima-kasih kepada anda semua warga pendidik dan juga staf bukan guru di sekolah ini khasnya dan seluruh warga pendidikan di mana sahaja berada yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan tadbir urus di sekolah pada masa lalu, terkini dan masa mendatang.

Alhamdulillah, pihak sekolah mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), walaupun dari segi bilangan calon mendapat semua 'A' belum boleh dibanggakan, pencapaian keseluruhan kita adalah lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu. Ini sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih semua pihak terutamanya para pendidik dalam melaksanakan tugasan telah menunjukkan hasil yang membanggakan.


Pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa dan penjaga serta masyarakat setempat yang amat mengambil berat, penuh keprihatinan tentang pendidikan anak-anak dan memberikan sokongan padu kepada pihak sekolah dalam meningkatkan mutu pencapaian pendidikan anak-anak.

Kepada semua anak-anak didik kami, belajarlah bersungguh-sungguh tanpa mengenal rasa letih dan jemu untuk menimba seberapa banyak ilmu yang ada, sama ada di sekolah, di rumah mahupun di mana sahaja, dalam apa cara sekalipun, kerana ilmu yang diperolehi akan merubah taraf hidup anda dan keluarga di masa akan datang.

Akhir kata,  marilah kita bersama-sama mengatur langkah menuju 2013 dengan penuh azam, tekad dan semangat untuk memberikan sumbangan yang terbaik kepada anak-anak didik, sekolah kita dan tanahair tercinta, Malaysia.

Terima-kasih. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Menyambut Tahun Baru 2013.

Ikhlas dari,
Guru Besar dan seluruh warga
Sekolah Kebangsaan Jeram Batu 20,
45800 Jeram. Selangor.

0 comments:

Post a Comment