Sunday, December 16, 2012

Bahagian Pembangunan Kurikulum Digesa Selaras Sukatan Pelajaran Dengan Prosedur Lembaga Peperiksaan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran menyelaras sukatan pelajaran dengan prosedur yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata selain itu, sukatan mata pelajaran yang ditetapkan BPK itu membebankan guru dan murid kerana perlu dihabiskan dalam tempoh persekolahan yang terhad.

Beliau berkata sehubungan itu, BPK perlu menambah baik sukatan mata pelajaran sedia ada agar tidak membebankan guru dan murid bagi melengkapi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) selain memastikan penyampaian PBS lebih berkesan serta menyeluruh.

Hashim berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Tertinggi NUTP di sini Sabtu.

Katanya, di bawah PBS iaitu sistem pentaksiran yang dilaksana sejak 2010, guru bagi setiap mata pelajaran perlu merancang, merekod dan melaporkan hasil penilaian ke atas setiap pelajar mengikut prosedur yang ditetapkan LPM.

Beliau berkata masalah yang terpaksa dihadapi kebanyakan guru ketika ini ialah menghabiskan silibus mata pelajaran seperti ditetapkan BPK dalam tempoh setahun, iaitu 120 hari persekolahan, sedangkan mereka mempunyai banyak tugasan lain.

Sumber BERNAMA 15/12/2012

0 comments:

Post a Comment