Tuesday, November 13, 2012

Tiada Halangan Laksana Program Khas Untuk Pelajar Pintar Di Malaysia

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

MELBOURNE - Kerajaan tidak menghalang sekiranya terdapat badan persendirian atau pengusaha swasta yang ingin menawarkan program khas untuk pelajar pintar yang dilaksanakan di luar negara di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata program khas untuk pelajar pintar sedemikian seperti yang ditawarkan G.A.T.E.WAYS di Australia mampu merangsang kecergasan dan kecerdasan menguasai bidang-bidang tertentu.

Namun, katanya kementerian tidak bercadang menjadikan program sedemikian sebagai sebahagian daripada pengajaran rasmi di sekolah kerajaan. "Jika ada pihak yang berminat hendak buat terserah pada mereka. Mungkin mereka perlu bekerjasama dengan sekolah antarabangsa," katanya kepada wartawan Malaysia selepas diberi taklimat mengenai program G.A.T.E.WAYS di sini pada Selasa.

G.A.T.E.WAYS adalah pertubuhan bebas yang mengendalikan program hujung minggu untuk pelajar pintar dan berbakat dalam suasana pembelajaran tidak formal tetapi masih berorientasikan akademik. Program tersebut meliputi pendedahan dalam bidang seperti sains, matematik dan kepemimpinan. Latihan singkat bagi program itu dilakukan oleh pakar bidang seperti saintis, penulis buku, ahli muzik atau tokoh politik dan korporat.

Program-program G.A.T.E.WAYS disusun untuk memupuk minat pelajar dalam bidang tertentu dan membantu mereka menceburi bidang itu secara lebih mendalam.

Sumber BERNAMA 13/11/2012

0 comments:

Post a Comment