Tuesday, November 27, 2012

PRU-13 bukan Disember

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Parlimen tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan pada Disember.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan ditegaskan Presiden Umno itu pada majlis Taklimat Presiden kepada perwakilan Umno di sini, Selasa.

"Beliau (Najib) nyatakan (PRU-13) tidak dalam bulan 12," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat tertutup itu di sini.

Bagaimanapun menurut Ahmad Zahid, Perdana Menteri tidak menyatakan alasan tertentu mengapa PRU-13 tidak akan diadakan pada bulan Disember akan datang.

"Tidak ada alasan. Tapi saya fikir kerana kita mempunyai tempoh sehingga bulan Mac tahun depan dan kita ada 60 hari selepas tamat tempoh itu untuk adakan pilihan raya.

"Tapi saya yakin apa yang lebih penting ialah beliau mahu lihat jentera bersiap sepenuhnya," katanya.

Baru-baru ini Najib secara berseloroh pernah memberi bayangan bahawa PRU-13 boleh diadakan pada Disember ini walaupun negara dilanda musim tengkujuh.

Beliau yakin walaupun musim tengkujuh, jentera parti politik yang bertanding mampu menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, menerusi taklimat berkenaan Najib menegaskan agar jentera parti disemua peringkat bersiap sedia untuk menghadapi PRU-13.

"Perdana Menteri minta supaya jangan bekerja hanya apabila Parlimen dibubarkan. Ertinya kesiapsiagaan ini harus dimulakan sekarang.

"Beliau mahu persiapan jentera hendaklah diletakkan dalam gear lima supaya kita boleh bergerak pantas dan kita tak tunggu Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan," katanya.

Sumber mStar Online 27/11/2012

0 comments:

Post a Comment