Wednesday, November 14, 2012

Pemilik rumah disaran guna Jeriji Automatik

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments


KUALA LUMPUR - Setiap pemilik rumah disaran supaya menggunakan jeriji automatik berkuasa bateri yang mudah dibuka pada tingkap dan pintu rumah supaya penghuni dapat meloloskan diri jika berlaku kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata melalui jeriji automatik tersebut, penghuni rumah hanya perlu menekan butang yang terdapat di dalam rumah dan jeriji tersebut akan terbuka.

"Kita menasihatkan pemilik rumah supaya memasang jeriji, namun melalui jeriji seperti itu kita bukan sahaja mudah menyelamatkan diri semasa kebakaran tetapi dapat mencegah jenayah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.

Beliau mengulas mengenai tragedi kebakaran sebuah rumah banglo dua tingkat yang meragut empat nyawa iaitu sepasang suami isteri, seorang anak lelaki serta seorang pembantu rumah warga Indonesia apabila kesemua mangsa lemas terhidu asap tebal di Taiping, Perak semalam.

Dalam kejadian itu Mohd Hakimi Zubair, 40, seorang Pengarah Korporat Royal Bank of Scotland Kuala Lumpur, isterinya Leiha Sahak, 40, pakar teknologi maklumat sebuah syarikat swasta di ibu negara, anak mereka Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah yang dikenali sebagai Rizki ketika itu berada di tingkat dua rumah tersebut.

Sumber BERNAMA 14/11/2012

0 comments:

Post a Comment