Friday, November 02, 2012

Pelajari Seni Pertahankan Diri Untuk Hindari Jenayah - Heng

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Golongan wanita perlu mempelajari ilmu dan kemahiran berkaitan seni mempertahankan diri dan sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie pada Jumaat.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana statistik menunjukkan dari 2007 hingga Mac 2012, 26,902 kes jenayah melibatkan wanita dilaporkan di seluruh negara termasuk rogol, cabul, sumbang mahram dan keganasan rumah tangga.

"Ia menunjukkan wanita adalah golongan berisiko tinggi terdedah kepada kegiatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat kita," katanya ketika berucap pada pelancaran 'Kempen Keselamatan Wanita' anjuran kementerian berkenaan di sini pada Jumaat.

Ia disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim.

Heng berkata kempen bertujuan meningkatkan tahap kesedaran wanita mengenai aspek keselamatan itu akan dijalankan secara berperingkat di seluruh negara.

Ia merupakan inisiatif pertama di bawah fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi jenayah terutama melibatkan wanita.

Sumber BERNAMA 2/11/2012

0 comments:

Post a Comment