Saturday, November 10, 2012

Obama menangis di depan penyokong

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

WASHINGTON - Satu rakaman video menunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengesat air matanya di depan para pekerja sukarelawan kempen pilihan rayanya di Chicago.

Video yang menunjukkan Obama mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan muda ekoran kemenangannya sebagai presiden AS itu didedahkan oleh pasukan petugas kempennya kelmarin.

Obama memenangi pilihan raya presiden AS pada Selasa lalu dengan menewaskan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.

"Saya benar-benar yakin bahawa kamu akan melakukan perkara-perkara hebat dalam kehidupan masing-masing," kata Obama di ibu pejabatnya di Chicago pada Rabu lalu.

Dengan nada yang penuh beremosi, Obama berkata, beliau kini kembali menduduki jawatan presiden.

"Disebabkan apa yang anda semua telah lakukan, ia bermakna bahawa kerja yang saya lakukan kini menjadi penting.

"Saya berasa amat berbangga dengan anda semua," kata Obama yang mewakili parti Demokrat sambil mengesat air matanya.

Semua petugas kempennya kemudian bertepuk tangan.

Sementara itu, parti Demokrat mengumumkan bahawa Obama memenangi 29 undi pemilih di Florida.

"Bagi pihak Demokrat Florida, saya mengucapkan tahniah kepada Obama kerana pemilihannya semula dan memenangi 29 undi pemilih di Florida," kata pengerusi parti itu di Florida, Rod Smith menerusi satu kenyataan kelmarin.

Beliau membuat kenyataan itu sebelum keputusan rasmi undi yang dimenangi Obama di negeri tersebut diumumkan.

Jika undi itu diambil kira, Obama memenangi sebanyak 332 undi pemilih berbanding Romney sebanyak 206 undi.

Sebanyak 270 undi pemilih diperlukan untuk memenangi pilihan raya presiden AS. - Agensi

Sumber Kosmo! Online 10/11/2012

http://www.inquisitr.com/392486/emotional-obama-cries-while-telling-staff-im-really-proud-of-all-of-you-video/

http://www.washingtonpost.com/blogs/election-2012/wp/2012/11/08/video-president-obama-cries-while-addressing-campaign-staff/

http://www.timesunion.com/news/politics/article/Re-elected-Obama-heads-back-to-divided-government-4015067.php

0 comments:

Post a Comment