Monday, November 26, 2012

Malaysia Menyerlah Pada CIGIF 2012

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KANGAR - Malaysia menyerlah pada acara Korea Cyber International Genius Inventor Fair (CIGIF) 2012 yang berlangsung di Seoul semalam apabila kesemua 46 produk yang dipertandingkannya membawa pulang pingat.

Menurut kenyataan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Isnin, delegasi Malaysia yang diterajui Kelab Penyelidik Muda ENVEX (EYReC) dan merupakan chapter kepada Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia memenangi 27 pingat emas, 12 perak dan tujuh gangsa yang sekaligus meletakkan 100 produk memenangi pingat di samping menerima 11 anugerah khas.

Delegasi penyelidik Malaysia disertai kumpulan penyelidik UniMAP, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara dan beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Sains Selangor, Kolej Tunku Kursiah, Sekolah Menengah Sains Tapah, Kolej Mara Kuala Nerang, Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad dan beberapa sekolah di Sabah.

Penyelidik UniMAP menyumbang lapan pingat emas dan merupakan sumbangan emas terbesar bagi delegasi Malaysia di samping tiga anugerah khas pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chung Mu Art Hall.

CIGIF merupakan acara tahunan anjuran Korea Invention News sejak 2010 yang kali ini disertai 30 buah negara dengan jumlah penyertaan lebih daripada 250 produk.

Kontijen Malaysia diketuai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik, Dr Mukhzeer Mohamad Shahimin yang juga Pengerusi EYReC.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata ini merupakan pencapaian cemerlang penyelidik Malaysia di bawah bimbingan EYReC dan memperlihatkan keupayaan mereka memupuk kreativiti dan inovasi pelajar tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Kemenangan ini membuktikan Malaysia telah berjaya melahirkan para penyelidik dari peringkat sekolah sehingga produk yang dicipta berjaya mengharumkan nama negara," kata beliau.

Delegasi Malaysia turut menyertai persidangan khas Asia Creative Student Inventors Association yang disertai para pewakilan 30 negara semasa CIGIF.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

0 comments:

Post a Comment