Wednesday, November 21, 2012

Malaysia dapat tawaran bantu majukan program pendidikan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

MELBOURNE - Springfield Land Corporation (SLC), pemilik sebuah bandar raya pendidikan bertaraf dunia di sini, berminat membantu Malaysia memperkasakan lagi program pendidikan.

Perkara itu dinyatakan berikutan kunjungan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Springfield hujung minggu lepas di mana beliau mengadakan pertemuan dengan pengerusi SLC Maha Sinnathamby, yang menyatakan bahawa model sistem pendidikan Springfield boleh diperkenalkan di Malaysia.

"Kunjungan Tan Sri memberi peluang besar kepada kami untuk mempamerkan inovasi dan pertumbuhan yang menjadikan Springfield Education City contoh kejayaan untuk masyarakat di seluruh dunia," kata Sinnathamby, yang berasal dari Malaysia dan kini merupakan antara orang paling kaya di Australia, kepada Bernama.

Bandar raya pendidikan itu menempatkan pelbagai institusi pendidikan, termasuk University of Southern Queensland, Bremer Institute for Technical and Further Education, Union Institute of Language dan Australian City College.

Springfield, kira-kira 45km dari Brisbane mempunyai lapan kolej tinggi dan sekolah rendah dan 10 pusat penjagaan kanak-kanak. Kini, ia mempunyai kira-kira 10,500 pelajar.

Bandar raya ini juga akan memiliki hospital sendiri, pusat penjagaan warga tua dan kemudahan rekreasi kelas satu.

Muhyiddin, yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Canberra, Datuk Salman Ahmad, dibawa melawat kawasan pembangunan Springfield bernilai A$23 bilion, yang mempunyai 23,000 penduduk dan dijangka bertambah kepada 105,000 menjelang 2030, serta tenaga kerja seramai 30,000 orang.

Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, diberi taklimat tentang peranan penting pendidikan dalam mengubah aspirasi masyarakat kawasan itu.

Sumber BERNAMA 21/11/2012

The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment