Tuesday, November 06, 2012

Lebih 2,500 Sekolah Dilengkapi CPE Bagi Akses Internet

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Sehingga 5 September lepas sejumlah 2,501 sekolah di seluruh negara dilengkapi dengan 'Customer Premis Equipment' (CPE) yang membolehkan sekolah berkenaan mendapat akses Internet, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi berkata daripada jumlah tersebut 773 adalah sekolah di bandar manakala 1,728 lagi adalah sekolah luar bandar.

"Kemudahan jalur lebar yang disediakan di sekolah adalah berasaskan teknologi 4G dengan kelajuan minima 4Mbps sehingga kelajuan maksima 20 Mbps. Bagi 698 buah sekolah yang menggunakan teknologi VSAT pula kerajaan menyediakan jalur lebar asas 2 Mbps hingga 4 Mbps," katanya.

Beliau menjawab soalan mengenai langkah kementerian dalam menangani masalah kekurangan kemudahan Internet di semua sekolah luar bandar.

Beliau berkata pemasangan CPE merupakan antara langkah penyediaan infrastruktur bagi memperluas perkhidmatan capaian Internet di semua sekolah seluruh negara melalui Projek 1BestariNet.

"Skop projek (1BestariNet) ini melibatkan penyediaan infrastruktur sambungan jalur lebar berserta pembekalan sistem pembelajaran maya bagi sekolah kerajaan dan agensi lain di bawah kementerian.

"Kemudahan capaian 1BestariNet tidak hanya terhad di makmal komputer sahaja tetapi meliputi seluruh kawasan sekolah sama ada menggunakan sambungan infrastruktur 'LAN' sedia ada atau kaedah lain merangkumi bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru, makmal komputer, pusat sumber dan pusat akses sekolah serta meliputi kawasan asrama bagi sekolah berasrama," katanya.

Selain itu, katanya bagi sekolah yang dalam proses transisi ke projek 1BestariNet pula kerajaan memperuntukkan RM600 sebulan untuk setiap sekolah melanggan mana-mana pembekal Internet yang terdapat di pasaran.

Sumber BERNAMA 6/11/2012

0 comments:

Post a Comment