Saturday, November 17, 2012

Kerajaan sokong badan bantu golongan muda bermasalah - Muhyiddin

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

BRISBANE - Kerajaan akan memberi sokongan kuat kepada badan persendirian dan pihak swasta yang berminat membantu golongan muda bermasalah yang tercicir daripada sistem persekolahan untuk kembali belajar atau mendapatkan pekerjaan. Tertarik dengan pendekatan 'BoysTown' yang melibatkan perkongsian pintar swasta-awam untuk membantu golongan muda bermasalah di Australia, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha untuk membantu golongan itu tidak semestinya terletak di bahu kerajaan sahaja.

Beliau berkata program seumpama 'BoysTown' itu sesuai dilaksana di Malaysia oleh pihak-pihak yang berminat membantu masyarakat dan melakukannya dengan kesedaran bahawa komuniti juga perlu dibantu. "Kita membawa kumpulan sebegini masuk ke dalam sistem seperti 'BoysTown', beri mereka semangat, bagi dorongan, kembalikan minat belajar," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai program 'BoysTown' itu di sini Sabtu.

'BoysTown' adalan sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang memberi perkhidmatan dan menjalankan program untuk golongan muda bermasalah dan tercicir bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan penglibatan positif dalam masyarakat. Kira-kira 80 peratus program 'BoysTown', yang dijayakan melalui peruntukan kerajaan dan penajaan swasta, di Australia itu berjaya menangani masalah golongan muda bermasalah antaranya kembali berminat untuk belajar atau mendapat pekerjaan.

Muhyiddin berkata pihak-pihak di Malaysia yang sanggup membantu golongan muda bermasalah perlu berusaha sendiri melihat apakah isu dan masalah yang perlu diberi bantuan sewajarnya antaranya isu belia mengganggur dan belia berhenti sekolah awal. "Ini sedikit sebanyak menolong mengurangkan masalah, ada yang dapat pekerjaan, ada yang balik semula ke sistem persekolahan, ada yang menamatkan pelajaran dan ada diberikan peluang-peluang vokasional," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memberi sokongan kepada pihak swasta yang ingin menaja program itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka. "Program ini baik kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan oleh organisasi awam," katanya.

Sumber BERNAMA 17/11/2012

0 comments:

Post a Comment