Thursday, November 01, 2012

Kerajaan komited bantu semua jenis sekolah di Malaysia: Najib

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Kerajaan ikhlas dan komited dalam membantu semua jenis sekolah di negara ini dengan menyalurkan peruntukan secara adil dan saksama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Beliau berkata, peruntukan bagi sektor pendidikan yang disediakan kerajaan selama ini jelas menunjukkan komitmen untuk melahirkan masyarakat berpelajaran.
Katanya, ini adalah kerana sektor pendidikan adalah antara pemacu paling kritikal dalam mentransformasikan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

"Kita berbangga kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan yang tinggi kepada bidang pendidikan terutama dalam konteks dana dan peruntukan yang kerajaan dapat sediakan setiap tahun yang mana sektor pendidikan menerima peruntukan kewangan paling besar," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan replika cek sumbangan The Community Chest berjumlah RM38.3 juta kepada 80 daripada 196 sekolah terpilih di seluruh negara, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina On Pong di sini. The Community Chest adalah sebuah badan bukan kerajaan.

Najib berkata, sejak 2009 kerajaan memperuntukkan lebih daripada RM1.2 bilion untuk pembangunan infrastruktur sekolah Cina, Tamil dan Mubaligh bantuan kerajaan. Tambah beliau, ini termasuk peruntukan RM100 juta masing-masing kepada sekolah-sekolah bantuan kerajaan terbabit melalui Belanjawan 2012 dan 2013.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar banyak lagi perlu dilakukan untuk memantapkan sektor pendidikan daripada segi pembangunan fizikal dan infrastruktur sekolah serta peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Najib berkata, adalah diharapkan kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta ini menjadi usaha berterusan ke arah pembangunan sektor pendidikan di Malaysia.

"Saya cukup berbangga dengan dedikasi yang jelas dicerminkan Community Chest untuk bersama dengan kerajaan dalam menyalurkan dana kepada sekolah di seluruh negara," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, usahasama kerajaan dan Community Chest jelas menepati janji melalui sumbangan berjumlah RM100.2 juta sejak dana kebajikan itu dilancarkan September tahun lalu.

"Ini adalah prinsip kita yang mana janji dibuat kepada rakyat dan seterusnya ditunaikan demi rakyat," katanya.

Sumber BERNAMA 1/11/2012

0 comments:

Post a Comment