Saturday, November 03, 2012

Kementerian Pelajaran akan jumpa NUTP bincang tuntutan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan perjumpaan dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu atau dua minggu lagi untuk membincangkan sekurang-kurangnya sembilan tuntutan kesatuan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata antara tuntutan itu termasuk beban pelaksanaan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang menjadi isu panas di kalangan guru.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Khas Guru dan Sambutan Hari Guru Sedunia di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin di sini, sebentar tadi.

NUTP sebelum itu mengemukakan sembilan tuntutan penambahbaikan profesion guru, antaranya menambah baik sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata PBS perlu ditambah baik kerana pihaknya menerima pelbagai rungutan mengenai sistem itu daripada guru, yang mendakwa ianya membebankan mereka.

Selain itu perlu juga ditambah baik aspek pengurusan, pentadbiran, gaji dan peluang kenaikan pangkat, katanya semasa berucap pada Perhimpunan Khas Guru Malaysia yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran di sini Sabtu.

Hashim berkata kementerian juga perlu memperuntukkan kewangan yang standard dan mencukupi bagi setiap aktiviti yang melibatkan guru, bagi memastikan aktiviti itu dilaksanakan dengan berkesan dan berkualiti.

Kerajaan juga diharap dapat mewujudkan jawatan pembantu guru gred N17 di semua sekolah bagi mengatasi masalah pengurusan inventori dan sistem maklumat murid, katanya.

Sumber BERNAMA 3/11/2012

0 comments:

Post a Comment