Monday, November 26, 2012

Kementerian Kesihatan Bimbang Peningkatan Jumlah Penghidap NCD

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah orang dewasa dan kanak-kanak Malaysia yang menghidap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata adalah malang apabila keadaan kesihatan dan pemakanan rakyat Malaysia merosot secara perlahan-lahan ketika mereka menikmati hasil kemakmuran negara ini.

Katanya, NCD utama ialah serangan jantung, angin ahmar, kencing manis, dan barah manakala faktor risiko penyakit ini termasuk hipertensi, obesiti dan kolesterol tinggi.

"Semua ini berpunca daripada tiga faktor risiko tingkah laku iaitu pemakanan tidak sihat, gaya hidup sedentar (tidak aktif) dan merokok," katanya setelah melepaskan peserta 'Walk For Cure 2012' anjuran Hospital Columbia Asia di Bukit Jalil.

Dr Lokman berkata rakyat Malaysia sudah begitu selesa dengan tabiat sedentar mereka seperti duduk di depan televisyen atau skrin komputer berjam-jam sehingga mengabaikan aktiviti fizikal.

"Selain itu, perubahan ketara juga boleh dilihat dalam corak pemakanan kita yang mana kebanyakan orang dewasa dan keluarga menikmati makanan tidak sihat dan mengamalkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Dr Lokman juga berkata berikutan sikap sambil lewa terhadap kesihatan dan pemakanan, maka tidak hairanlah jika jumlah penghidap NCD terus meningkat di Malaysia.

"Serangan jantung dan angin ahmar kini merupakan antara lima punca utama kematian manakala kolesterol tinggi dalam darah memberi kesan kepada 35.1 peratus daripada penduduk di negara ini, atau satu daripada setiap tiga orang dewasa.

"Seorang daripada setiap tujuh orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas dikesan menghidap kencing manis, dan jumlah keseluruhan orang dewasa yang menghidap penyakit ini meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh hanya lima tahun iaitu dari 1.5 juta orang pada 2006 kepada 2.6 juta pada 2011," katanya.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

0 comments:

Post a Comment