Tuesday, November 27, 2012

‘Ikon Wanita Muda 2012’ Hadiah Hari Lahir Terindah Buat Deejay Lin

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin menganggap penganugerahan Ikon Wanita Muda 2012 (Kesatria Puteri Penyiaran Radio) yang diterima bersempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 pada Ahad lalu sebagai penyuntik semangat untuk terus berjuang dalam penyiaran radio.

Menurut Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid, pengiktirafan itu juga merupakan hadiah terindah bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-37 pada 31 Disember depan.

“Bagi Lin, anugerah ini adalah hadiah terindah sempena hari lahir saya yang akan disambut pada 31 Disember depan.
Deejay Lin bersama trofi anugerah Ikon
Wanita Muda 2012 atas sumbangannya
dalam dunia penyiaran radio.

“Ia juga adalah penyuntik semangat untuk saya terus berjuang dalam industri penyiaran radio,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online pada Selasa.

Lin menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad lalu.

Lin merupakan antara 12 penerima anugerah tersebut yang diberikan kepada wanita yang cemerlang dalam profesion masing masing.

Antara penerima lain adalah Datuk Siti Nurhaliza (Kesenian) dan Pandelela Rinong (Sukan).

Penyampai rancangan Suria Cinta berkata, pemilihan itu dilakukan berdasarkan beberapa kriteria iaitu keberkesanan rancangan popular itu sehingga mampu menyatukan pendengar untuk saling berkongsi pengalaman cinta masing-masing.

“Selain berkongsi pengalaman cinta dengan para pendengar, rancangan itu juga berjaya menemukan cinta di kalangan pendengar.

“Sehingga kini, lebih 300 pendengar berjaya menemui jodoh,” katanya.

Selain itu, katanya, hubungan rapat bersama peminat juga dilihat sebagai satu bentuk penglibatan secara dekat kepada masyarakat menerusi beberapa program dan aktiviti yang diatur bersama kelab peminat Fan DJ Lin CintaMania.

“Umpamanya aktiviti ‘Konvoi Raya ke Rumah Peminat ke Utara dan Lembah Kelang’ di mana saya mengambil inisiatif untuk turun padang berkunjung ke rumah peminat di seluruh negara sebagai penghargaan kerana menyokong karier saya selama ini,” katanya.

Pengiktirafan itu merupakan anugerah keempat yang diterima selepas memenangi trofi Penyampai Radio Wanita Terbaik dan Rancangan Interaktif Terbaik (Suria Cinta) di Anugerah Seri Angkasa pada 2005 dan 2010.

Sumber mStar Online 27/11/2012

0 comments:

Post a Comment