Monday, November 26, 2012

Hampir kesemua agensi kerajaan laksanakan OSS di pelbagai peringkat

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

SHAH ALAM: Hampir kesemua agensi kerajaan melaksanakan perisian sumber terbuka (OSS) di pelbagai peringkat hingga menjimatkan kos pelesenan berjumlah RM370 juta, kata Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata, sebanyak 719 daripada 724 agensi kerajaan atau 99.3 peratus melaksanakan OSS.
“Penggunaan OSS juga mampu menjimatkan 'berlipat kali ganda' perbelanjaan sesebuah agensi melalui pengurangan kos pembangunan, hasil daripada perkongsian kod sumber aplikasi.

"Pelaksanaan OSS di sektor awam turut meningkatkan kualiti dan interopabiliti sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke arah perkhidmatan awam yang berintegrasi secara 'seamless'," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2012, di sini, hari ini.

Mohamad Zabidi berkata, teknologi OSS adalah satu perkongsian kepakaran dan idea untuk meningkatkan lagi keupayaan teknologi ICT melalui kos yang efektif.

“Berdasarkan satu penyelidikan yang dijalankan sebuah syarikat pakar runding OSS mendapati teknologi itu lebih menjimatkan berbanding perisian berlesen dengan kadar 70 peratus lebih murah.

"Melalui inisiatif inilah tercetusnya kolaborasi strategik yang menggabungkan jalinan kepakaran global dan tempatan seterusnya melonjakkan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan dan membantu dalam usaha meningkatkan daya saing negara," katanya.
Mohamad Zabidi berkata, pelaksanaan OSS di Malaysia juga memperlihatkan kejayaan iaitu lebih 39 syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) menjana RM595 juta dalam negara dan lebih RM234 juta pendapatan eksport.

“Sebanyak 6,026 peluang pekerjaan juga disediakan melalui pelaksanaan OSS,” katanya.

Sumber BERNAMA 26/11/2012

0 comments:

Post a Comment