Sunday, November 18, 2012

Childline Malaysia Perluas Perkhidmatan Ke Laman Web Jun 2013

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Childline Malaysia (Childline), talian khas yang diwujudkan untuk membolehkan kanak-kanak dalam kesusahan mendapatkan bantuan akan diperluas ke medium laman web mulai Jun tahun hadapan.

Pengerusinya, Sabri Abdul Rahman berkata laman web yang kini dalam proses ujian itu akan memberi peluang kepada kanak-kanak yang tidak boleh berkomunikasi secara normal melalui panggilan telefon, membuat aduan.

"Sejak diperkenal pada 2010, Childline hanya mempunyai talian telefon dan ini menyukarkan sedikit kanak-kanak yang mengalami kekurangan seperti masalah pendengaran. Dengan adanya laman web ini perkhidmatan Childline akan lebih luas dan mudah.

"Ada juga kanak-kanak yang kurang selesa berkomunikasi secara lisan untuk mengajukan aduan mereka kerana merasakan ia terlalu peribadi, jadi laman web ini akan cukup membantu," katanya kepada pemberita pada Forum Perlindungan Kanak-Kanak di sini Ahad.

Forum bertemakan 'Be The Change And Speak Up' yang julung kali diadakan itu dianjur dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sime Darby Berhad dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

Sementara itu, Sabri berkata Childline Malaysia yang boleh dihubungi melalui talian 15999 merekodkan 4,564 aduan dari seluruh negara tahun lepas.

Sumber BERNAMA 18/11/2012

0 comments:

Post a Comment