Sunday, November 11, 2012

Bekas Atlet Negara Bakal Latih Pelajar Sekolah Tahun Depan

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

GEORGE TOWN - Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bakal menempatkan bekas atlet negara di sekolah di seluruh negara bagi melatih pelajar dalam bidang sukan mengikut kepakaran masing-masing.

Pengerusi Yakeb Datuk Jamil Salleh berkata untuk permulaan, 10 sekolah rendah dan menengah sekitar Lembah Klang akan dipilih sebagai projek perintis untuk program yang dijangka bermula Januari depan. "Yakeb sedang berunding dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama pada Program Yakeb Turun Padang, di sini malam tadi.

Jamil berkata berbekalkan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki bekas atlet berkenaan, beliau yakin bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan dapat dicungkil dan digilap pada peringkat awal. "Dalam projek perintis ini setiap sekolah akan menerima dua jurulatih yang akan melatih pelajar mengikut bidang sukan yang berpotensi menaikkan nama sekolah dan mengupayakan mereka mewakili negara pada masa depan," katanya.

Beliau berkata projek perintis itu akan berjalan selama tiga bulan sebelum diperluas ke semua sekolah seluruh negara. Jamil berkata program itu khusus untuk bekas atlet yang berdaftar dengan Yakeb dan setakat ini yayasan itu mempunyai 1,700 anggota sejak ditubuhkan pada 2007.

Beliau berkata jurulatih yang terpilih akan diberi kursus bagi memastikan tugas dilaksana mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Sumber BERNAMA 11/11/2012

0 comments:

Post a Comment