Friday, November 09, 2012

20,000 guru mohon bertukar setiap tahun

BY SK Jeram Batu 20 Selangor No comments

KOTA BHARU - Kementerian Pelajaran sentiasa memberi perhatian kepada permohonan guru-guru untuk berpindah bagaimanapun ia tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang terdekat disebabkan permintaan yang terlalu banyak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menerima sebanyak 20,000 permohonan guru-guru dari seluruh negara untuk berpindah bagi tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, salah satu cadangan yang dipertimbangkan oleh kementerian tersebut adalah menghantar guru-guru yang baharu sahaja menamatkan latihan kembali ke negeri asal masing-masing.

"Masalah yang banyak kita hadapi adalah pemahaman mengenai pertukaran guru. Tahun ini sahaja hampir 20,000 permohonan pertukaran, yang mahu balik ke Kelantan sahaja sebanyak 2,898 orang.

"Tolong nasihat saya macam mana saya hendak selesaikan masalah ini, tiap-tiap tahun 10,000 sehingga 20,000 permohonan untuk berpindah bukan sahaja hendak balik ke Kelantan, orang Johor hendak balik ke Johor, orang Sabah dan Sarawak bertanya kenapa mereka dihantar ke Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Enggang di sini hari ini.

Sumber Utusan Online 8/11/2012

0 comments:

Post a Comment